Banner 468

Posted by RIZAL BIN OSMAN on - -


Seronok belajar sains!

  
        Pembelajaran sains merupakan satu proses mengenali fenomena harian. Apa sahaja aktiviti yang kita lakukan setiap hari dan juga perkara yang berlaku di sekeliling kita, sudah pasti ada jawapannya melalui pembelajaran sains. Kita berjalan, berpeluh, atau sebarang proses yang berlaku di dalam badan manusia semuanya dipelajari dalam mata pelajaran sains. Seronok kan!
Jadi mata pelajaran Sains sebenarnya tidaklah susah sepertimana yang dijangkakan jika kita mampu mengaitkan aktiviti harian kita dengan pembelajaran sains. Di sekolah, selain belajar sains di dalam kelas, murid juga mempelajari sains dengan melakukan amali di makmal atau bilik sains yang disediakan. Melakukan amali sains membolehkan murid-murid memahami tentang sesuatu fenomena yang terjadi kerana murid dapat menyelidik dan melihat sendiri proses tersebut.

         Di sini terdapat beberapa tips atau perkara yang membolehkan murid memberi lebih tumpuan dan merasai keseronokan sewaktu melakukan amali sains;

• Sebelum melakukan sesuatu aktiviti: Murid perlu membuat rujukan dahulu tentang topik berkaitan aktiviti yang akan dijalankan. Dengan membuat rujukan, murid akan lebih bersedia dan teruja untuk melakukan eksperimen berbanding dengan murid yang tidak tahu dan tidak bersedia dengan apa yang akan dilakukan.

• Sewaktu di dalam makmal: Murid seharusnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada arahan guru sebelum melakukan eksperimen. Dengan ini, murid akan lebih faham dan melakukan eksperimen dengan lancar. Murid harus membaca objektif eksperimen yang dijalankan berulangkali. Ia membantu murid untuk lebih fokus ketika menjalankan eksperimen.

• Ketika eksperimen dijalankan: Beri tumpuan sepenuhnya dan jangan bergurau senda atau bercakap-cakap dengan rakan sekelas. Jika terdapat sebarang keraguan, hendaklah dirujuk kepada guru. Timbulkan rasa seronok dan sifat ingin tahu ketika melakukan eksperimen.

• Setelah selesai melakukan eksperimen: Pemerhatian harus dibuat berdasarkan apa yang dilihat dengan mata kasar. Seterusnya cuba fikirkan dan kaitkan dengan teori mengapa terjadinya demikian. Keputusan atau data eksperimen hendaklah dicatatkan dengan jujur tanpa mengubahnya. Ini penting untuk mencapai kepuasan murid membuat eksperimen.

Murid-murid seharusnya mengikuti langkah-langkah di atas bagi menanamkan rasa seronok mempelajari matapelajaran sains. Sains itu mudah, sains itu menarik, sains itu melambangkan kejayaan manusia menerokai dan mengenali fenomena harian yang berlaku pada diri kita. Selamat mencuba!

Sumber :http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2009&dt=0323&pub=DuniaPendidikan&sec=Motivasi&pg=mo_01.htm 

Categories: